Rabu, 8 Oktober 2008

Exco perlu patuh prinsip kabinet - Prof Aziz
Tarmizi Mohd Jam


KUALA LUMPUR - Anggota-anggota pentadbiran, baik di dalam kabinet persekutuan mahu pun majlis mesyuarat kerajaan (Exco), perlu tahu dan patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Menurut Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat antara dua EXCO Selangor, Ronnie Liu dan Iskandar Abdul Samad dalam kontroversi perobohan sebuah kuil di Ampang, baru-baru ini,"tuntutan ini terkandung di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang juga terdapat di dalam perlembagaan negeri."

Aziz berpendapat kenyataan Ronnie Liu betul manakala Iskandar pula menyalahi peruntukan perlembagaan.

"Ini kerana anggota kabinet tidak boleh menunjukkan perbezaan pendapat di khalayak ramai. Mengandaikan bahawa keputusan menggantung pegawai berkenaan tidak diputuskan oleh mesyuarat Exco sekalipun ia mengikat semua ahli kabinet, termasuk menteri besar dan Iskandar sendiri," jelasnya.

Sekiranya Iskandar tidak bersetuju dengan tindakan itu, kata Aziz lagi, beliau perlu meletakkan jawatan dari Exco.

"Menteri besar juga boleh memecat beliau sekiranya Iskandar masih mahu mempertahankan pendapatnya. Soal apakah keputusan menggantung pegawai itu adil atau tidak soal lain.

"Kita bercakap soal prosedur dan ketetapan perlembagaan. Begitu juga tidak timbul soal kebebasan mengeluarkan pendapat kerana ini tidak terpakai dalam kes kabinet di mana undang-undang menetapkan semua anggota kabinet sekata dan siapa yang tidak mahu terikat keluar atau dipecat,"jelasnya.

Tidak timbul juga soal portfolio, Aziz menjelaskan bahawa semua anggota kabinet bertanggung jawab kepada semua perkara, termasuk di dalam hal-hal yang terjatuh di dalam portfolio ahli lain.

Dalam soal ini, kata Aziz lagi, Iskandar juga bertanggungjawab kepada keputusan merobohkan kuil itu.

Aziz menambah kalau Iskandar tidak mahu terikat dengan dasar dan keputusan kerajaan Selangor beliau boleh meletakkan jawatan dan menjadi penyokong kerajaan (backbencher) yang tidak tertakluk kepada prinsip tanggungjawab bersama itu.

Aziz menjelaskan perbezaan pendapat tidak boleh berlaku secara terbuka di kalangan anggota kabinet kerana ia akan menyebabkan rakyat keliru dan tidak dapat melihat yang mana satu sikap dan dasar kerajaan yang memerintah.

Jika itu berlaku, jelas beliau lagi, akan sukarlah untuk dewan memantau dan memaksa kerajaan bertanggungjawab kepadanya.

"Sebab itu jangan dikelirukan antara hak kebebasan bersuara dengan kedudukan sebagai ahli kabinet,"tambahnya. - mks. _

Tiada ulasan: