Jumaat, 24 Oktober 2008

DAP gesa boikot semua penerbitan Utusan

Jimadie Shah Othman


Tidak cukup dengan memboikot akhbar Utusan Malaysia, DAP kini menggesa supaya ia diperluaskan meliputi kesemua tiga akhbar dan 11 majalah terbitan Kumpulan Utusan.

Saranan itu dibuat pemimpin utama parti itu Lim Kit Siang dalam sebuah forum di Dewan Perhimpunan China Selangor dan Kuala Lumpur di ibunegara malam tadi.

DAP dan Pakatan Rakyat sebelum ini memboikot akhbar itu sebagai tindak balas selepas mendakwa akhbar berkenaan menyiarkan laporan yang berat sebelah.

Terbaru, parti itu mendakwa akhbar berkenaan menyiarkan laporan berat sebelah berhubung isu laungan azan yang membabitkan ahli Parlimen Teresa Kok.

Bercakap dalam forum bertajuk "Membunuh YB lawan Kebebasan Media", Lim mempertikaikan kualiti laporan akhbar itu yang didakwanya berat sebelah dan tidak profesional.

Lim menyatakan langkah terbaru itu ketika mengulas cadangan yang sama oleh seorang lagi peserta forum itu, pensyarah Universiti Malaya (UM) dan penulis blog terkenal Dr Azmi Sharom.

Turut menyokong saranan tersebut ialah seorang lagi ahli panel, penulis blog Haris Ibrahim.

Haris menyarankan supaya pengiklan menarik balik iklan mereka di akhbar itu selain menuntut orang ramai terus memboikot akhbar berbahasa Melayu popular itu.

"Kalau hendak serang balas, seranglah di tempat yang paling berkesan," katanya menjawab soalan hadirin mengenai tindakan seterusnya untuk menghadapi Utusan Malaysia.

Simbolik kepada pemboikotan itu, kelima-lima mereka mengangkat kain rentang bertulis "boikot Utusan" di akhir program.

Ahli panel turut menerima seorang satu kain rentang yang disampaikan oleh ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Ahli panel lain ialah Teresa dan ketua pengarang editor Roket, Wan Hamidi Hamid.

Tiada ulasan: