Rabu, 15 Oktober 2008

Dakwat kekal: Laporan polis kes seludup memang benar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tidak wujud apa yang dikatakan sebagai laporan palsu berhubung kes penyeludupan dakwat kekal yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum pada Mac lepas.

"Memang ada laporan polis berkenaan penyeludupan dakwat kekal telah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum dan memang SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga telah diminta untuk mengkaji semula penggunaan dakwat kekal itu memandangkan ia mungkin bercanggah dengan Artikel 119 Perlembagaan.

"Pihak SPR telah membuat keputusan untuk tidak menggunakan dakwat kekal itu berdasarkan masalah keselamatan dan undangundang Perlembagaan yang timbul.

"Pihak polis juga telah membuat siasatan dan hasil siasatan telahpun dimaklumkan sebelum ini," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan GwoBurne Loh (PKR-Kelana Jaya) yang meminta penjelasan mengapa wujud percanggahan dalam jawapan lisan Perdana Menteri pada 7 Mei dan Menteri Dalam Negeri pada 6 Mei lepas berhubung dengan laporan polis mengenai penyeludupan dakwat kekal sehingga dibatalkan penggunaannya.

Ketika menjawab soalan Loh mengenai kenapa tiada pendakwaan dilakukan terhadap penjenayah terbabit, Mohamed Nazri berkata pihak polis mendapati bahawa penyeludupan itu tidak berlaku.

"Ia bukan satu dakwaan palsu, terdapat tiga laporan polis dan ia laporan yang dibuat oleh orang yang telah mendengar kononnya ada cerita bahawa dakwat itu telah dibawa masuk secara haram ke negara ini.

"Melalui apa yang mereka dengar, mereka telah membuat laporan polis.

"Pihak polis telah menyiasat bahawa ia tidak benar tetapi perkara itu tidak berlaku. Ini tidak bermakna laporan itu adalah laporan palsu.

"Ini kerana pelapor benarbenar percaya mungkin ada kebenaran dan beliau membuat laporan polis. Pihak polis mendapati pelaporpelapor itu tidak mempunyai niat untuk membuat laporan palsu," katanya.

Tiada ulasan: