Rabu, 8 Oktober 2008

Bimbang keselamatan Teresa upah pengawal peribadi
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhasrat mengupah pengawal peribadi dan memasang kamera litar tertutup di rumah ibu bapanya di sini kerana mendakwa keselamatan beliau serta keluarganya kini terancam.

Beliau berkata, langkah itu berikutan kejadian pada 27 Sept lepas apabila kediaman ibu bapanya di Taman Rainbow di sini dibaling bom molotov koktel.

"Saya telah dinasihatkan oleh polis supaya menjaga diri serta berhatihati memandangkan pelbagai perkara buruk dan reaksi negatif yang dilemparkan terhadap saya setelah isu saya (berhubung laungan azan) diperbesar-besarkan.

"Saya juga sudah meminta pada pihak keselamatan di kondominium yang saya diami di OUG supaya mempertingkatkan tahap keselamatan," katanya.

Terdahulu beliau bertemu Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman bagi membincangkan perkembangan siasatan polis berhubung kejadian bom petrol itu.

"Saya berterima kasih atas keprihatinan pihak polis dalam memastikan keselamatan kami terjaga. Kami diberitahu, polis turut mempertingkatkan rondaan mereka," katanya.

Tiada ulasan: