Rabu, 15 Oktober 2008

Anwar cabar kerajaan debat isu ekonomi

AFP, Bernama


Kuala Lumpur : Ketua pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam berkata beliau akan mencabar kerajaan mengenai suasana ekonomi di negara itu apabila Parlimen dibuka semula tetapi enggan mendedahkan sama ada beliau akan cuba mengambil alih kuasa.

Datuk Seri Anwar berkata beliau telah mendapat sokongan mencukupi untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas berjaya memujuk beberapa Ahli Parlimen (AP) supaya berpindah ke pihaknya.

Beliau bagaimanapun semalam enggan mengulas mengenai kemungkinan para AP yang pindah parti itu akan secara fizikal berpindah ke Pakatan Rakyat apabila Parlimen dibuka semula hari ini, selain berkata 'tunggulah esok'.

'Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai... kita akan menyaksikan perubahan.

'Kalau rakyat mahukan perubahan... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan,' kata Datuk Seri Anwar semasa ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini.

Namun, beliau menekankan bahawa beliau akan mencabar kerajaan berhubung belanjawan Malaysia 2009, yang menurutnya berdasarkan perangkaan 'lapuk'.

'Saya akan bercakap tentang krisis ekonomi yang sedang kita hadapi dan bahaya yang kita tempuhi kerana menteri kewangan sekarang masih enggan menerima kenyataan,' kata beliau kepada pemberita.

'Salah satu perkara utama ialah penyemakan semula perangkaan belanjawan negara. Kita tidak boleh melakukan sesuatu berdasarkan perangkaan lapuk yang tidak realistik dan tidak mencerminkan asas-asas ekonomi,' tegasnya lagi.

Menteri Kewangan Malaysia baru, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Perdana Menteri negara itu, awal bulan ini berkata ekonomi Malaysia masih cukup kukuh dan mampu menghadapi krisis kewangan yang telah menjejas pasaran dunia.

Namun, AP pembangkang, Lim Kit Siang, semalam menggesa Datuk Seri Najib supaya 'membentangkan satu belanjawan 2009 yang disemak semula di Parlimen Isnin ini', dengan menumpukan perhatian kepada strategi membantu Malaysia bertahan di tengah-tengah krisis tersebut.

Harga saham di bursa saham Malaysia telah jatuh sekitar 35 peratus tahun ini.

Tiada ulasan: