Sabtu, 13 September 2008

Tsu Koon: Hubungan Gerakan dan Umno Pulau Pinang ambil masa untuk pulih
BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Hubungan antara Gerakan dan Umno Pulau Pinang yang "suram" berikutan kenyataan kontroversi bekas ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang berbau perkauman, akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pihaknya memerlukan masa untuk menimbang serta menilai semula hubungannya dengan Umno Pulau Pinang kerana apa yang berlaku sebelum ini, telah mengguris perasaan mereka.

Sambil menyifatkan episod itu seperti pergaduhan antara adik beradik, beliau berkata ada di kalangan anggota parti berkenaan yang masih geram dan sedih dengan rentetan episod "suram" itu.

"Ia adalah seperti bergaduh dengan adik beradik sendiri dan ia pasti mengambil masa untuk berdamai... perasaan anda telah terluka, itulah analoginya di sini.

"Pemulihan bergantung kepada apa yang kedua-dua pihak lakukan," katanya ketika ditanya mengenai hubungan Gerakan dan Umno Pulau Pinang sekarang, setelah Ahmad digantung haknya sebagai anggota Umno selama tiga tahun.

Mengulas lanjut, Koh berpendapat bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikenakan terhadap Ahmad berhubung kenyataannya yang didakwa berbau perkauman dan menghasut.

Sebaliknya, beliau berkata Akta Hasutan 1948 lebih sesuai digunakan bagi mendakwa bekas ketua Umno Bahagian Bukit Bendera itu.

"Kami marah dan meluat dengan kenyataan demi kenyataan yang dilakukannya tetapi Gerakan telah menyokong semakan semula dan pindaan ISA, dan merasakan lebih baik Akta Hasutan digunakan terlebih dahulu.

"Tetapi, akibat perasaan marah dan geram, beberapa pemimpin Gerakan telah meminta tindakan paling tegas dikenakan terhadap Ahmad," katanya.

Bagaimanapun, Koh menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap Ahmad berdasarkan siasatan yang dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Tiada ulasan: