Khamis, 11 September 2008

Tiada cadangan guna tentera bebas tebusan lanun
Utusan online


PUTRAJAYA . - Kerajaan tidak bercadang menggunakan tindakan ketenteraan bagi membebaskan anak kapal dua kapal milik Malaysia yang kini ditawan oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana kerajaan yakin satu penyelesaian dapat dicapai dalam usaha membebaskan anak- anak kapal MISC Berhad itu.

''Semua anak kapal itu berada dalam keadaan selamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pemintaran Peranan Ekonomi Umat Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini usaha membebaskan 70 anak kapal MISC, MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 yang dirampas lanun pada 19 dan 29 Ogos lalu di Teluk Aden, Somalia. Seramai 65 daripada 70 tebusan itu merupakan rakyat Malaysia manakala baki adalah rakyat Filipina.

Najib berkata, keadaan 65 rakyat Malaysia itu dipantau oleh beliau apabila mendapat laporan mengenainya setiap hari.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada apa-apa yang boleh dihebahkan kepada umum kerana khuatir akan turut diketahui oleh lanun berkenaan.

''Kita tak mahu kompromi keselamatan warga dua buah kapal MISC. Jadi, apa-apa yang kita lakukan itu seelok-eloknya kita umumkan apabila ia berjaya nanti," katanya.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia manakala bakinya warga Filipina dirampas lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Ketika kejadian, kapal itu dalam pelayaran dari Dumai, Sumatera ke Rotterdam, Belanda.

Selang 10 hari kemudian iaitu pada 29 Ogos, kapal MT Bunga Melati 5 juga milik syarikat tersebut dengan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Tiada ulasan: