Rabu, 10 September 2008

Tamatkan sandiwara lama Gerakan vs Ahmad Ismail
William Leong Jee Keen


Amat dikesali bahawa anggota Umno telah menggunakan tindakan-tindakan terdesak dan provokasi dengan mengoyakkan poster Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Amat mengecewakan ketika New Straits Times pada 9hb September melaporkan bahawa beliau "holding back his anger".

Tindakan ini dilihat sebagai tindakan terdesak untuk mengapi-apikan semula isu politik perkauman.

Sandiwara ini harus diberhentikan dengan serta-merta. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, rakyat tidak akan diperbodohkan lagi.

Rakyat telah mengetahui bahawa masalah sebenar yang sedang melanda Malaysia iaitu kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Isu samada Gerakan dihalau keluar oleh Ahmad Ismail dan kumpulannya mahupun Gerakan secara sendiri keluar dari BN tidak penting lagi kerana mereka yang berwibawa dan bermaruah telahpun meninggalkan BN.

Mereka ini sedar bahawa isu-isu semasa adalah seperti ekonomi, kenaikan kadar inflasi, kenaikan harga makanan, pembasmian kemiskinan dan pendidikan

BN gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut malah langsung tidak mampu untuk mengatasinya. Pernyataan Ahmad Ismail dan Gerakan adalah lakonan wayang lama.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan isu ini. Biarlah kita bersama-sama menumpukan perhatian kepada harapan baru untuk Malaysia bagi mengembalikan Malaysia ke era kemegahan, kemajuan dan pembangunan. Lakonan wayang lama tersebut harus diberhentikan segera.

William Leong Jee Keen
Bendahari Agung
Parti Keadilan Rakyat - mr _

Tiada ulasan: