Rabu, 17 September 2008

Semua untung pasir untuk projek kebajikan
Sinar Harian


DENGKIL – Kesemua hasil keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti melombong pasir oleh anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan disalurkan kepada projek-projek kebajikan di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keuntungan tersebut akan diberikan kepada kerajaan negeri dan ia kemudiannya akan dikeluarkan dalam bentuk dividen bagi disalurkan pada projek kebajikan yang telah dirancang.

“Keuntungan darinya kita akan salurkan pada program kebajikan seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), caruman Takaful dan perubatan percuma kepada warga emas dan beberapa projek kebajikan yang kita akan lancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Tapak Operasi Pengeluaran Pasir Pertama KSSB di sini semalam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Katanya, tindakan ini merupakan salah satu cara kerajaan negeri merealisasikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan menguruskan aktiviti melombong pasir secara profesional mengikut bentuk pengurusan perniagaan.

Beliau berkata, langkah kerajaan negeri untuk mengambil alih aktiviti perlombongan melalui anak syarikatnya KSSB adalah bertujuan untuk menstabilkan industri melombong pasir dan mengurangkan aktiviti perlombongan haram.

Tiada ulasan: