Rabu, 10 September 2008

Rombongan BN-BBC sibuk 5 hari pertama, baki jadual disusun
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK, NURUL AIN HUSSAIN dan LEE YAN XIU


PETALING JAYA: Seramai 49 anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) yang memulakan lawatan lapan hari ke Taiwan kelmarin menghabiskan hari kedua semalam dengan melawat Shangri-La Leisure Farm.

Mereka diberi taklimat oleh pengarah urusan ladang tersebut.

Menurut Timbalan Pengerusi BN-BBC, Datuk Bung Mokhtar Radin taklimat yang diberikan itu banyak membantu untuk menaikkan industri pertanian.

"Selepas itu, mereka melawat Ketua Setiausaha Taiwan, Lu Luo Hua.

"Pengerusi BN-BBC, Datuk Seri Tiong King Sing bersama-sama lapan ahli BN-BBC tiba di Taiwan hari ini (semalam) dan bertemu serta berbuka bersama dengan ahli rombongan," kata beliau ketika dihubungi di Taipei semalam.

Anggota BN-BBC berlepas ke Taiwan secara berperingkat mulai kelmarin bagi melakukan lawatan sambil belajar mengenai teknologi pertanian.

Mereka akan pulang ke tanah air pada 17 atau 18 September ini.

Semalam, Bung Mokhtar menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya lawatan itu ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan kerajaan persekutuan pada 16 September ini.

Hari ini, rombongan akan bertolak dari Ilan ke Kaohsiung.

"Ahli BN-BBC ke Kaohsiung dengan menaiki kereta api peluru. Perjalanan sejauh 250 kilometer dari Ilan. Di sana mereka dibawa melawat pusat bioteknologi," kata Bung Mokhtar.

Pada hari keempat, anggota BN-BBC akan melawat Pingtung University of Science and Technology dan pada sebelah malam mereka akan makan malam bersama-sama pelajar Malaysia di Taiwan.

Keesokan hari, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Konsul Pertanian Taiwan, Wong Jung Pyng pada pukul 4 petang.

Berhubung jadual hari keenam dan seterusnya, beliau berkata, jadual untuk hari keenam dan seterusnya belum diputuskan lagi.

Jelasnya, perkara tersebut akan dibincang bersama-sama ahli rombongan dan akan diputuskan kelak.

"Setakat hari ini kami dapat belajar banyak mengenai pertanian dan penternakan di Taiwan untuk kebaikan negara," katanya.

Apabila ditanya masih ada semua ahli BN-BBC tiba hari ini, Bung berkata: "Pada 14 September Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman akan tiba dan menyertai rombongan mereka di Taiwan."

Tiada ulasan: