Khamis, 11 September 2008

RM1 juta kos selenggara Perdana Executive
Oleh SAHBULAH DARWI


JOHOR BAHRU . - Kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1 juta bagi menyenggara 15 kereta rasmi kerajaan negeri jenis Proton Perdana Executive bagi tempoh empat tahun sejak 2005.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kenderaan itu digunakan oleh beliau, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan, Exco-exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

"Kos keseluruhan penyenggaraan itu adalah RM962,261 dalam tempoh empat tahun.

"Kos penyenggaraan pada tahun 2008 sebanyak RM341,268, 2007 (RM345,502), 2006 (RM169,163) dan 2005 (RM133,651)," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tong Hiang dan ADUN Sungai Abong, Sheikh Ibrahim Salleh pada persidangan DUN Ke-12 di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, kenderaan tersebut adalah dengan nombor pendaftaran JDT 1 hingga JDT 13 dan JCS 1 dan JCS 2 yang dibeli pada tahun 2004 hingga 2006 dengan harga kira-kira RM117,000 sebuah.

Mengenai soalan lain, Abdul Ghani berkata, seramai 48 orang kakitangan kerajaan negeri ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana terbabit dalam rasuah pada tahun 2007.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 37 orang telah didakwa di mahkamah.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 41 orang telah ditangkap dan 22 orang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah," jelasnya.

Tiada ulasan: