Jumaat, 12 September 2008

Polis buru pembunuh pelajar UMS
Utusan Online


KOTA KINABALU . - Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan dan penemuan mayat seorang pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) 28 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, lelaki berkenaan merupakan suspek keempat yang ditahan oleh pihak polis berkaitan kematian pelajar itu, Sherliana Gediun yang berusia 22 tahun.

"Polis mencari suspek berumur 29 tahun itu untuk membantu siasatan kes pembunuhan tersebut. Alamat terakhir suspek ialah di Kampung Tandek daerah Kota Marudu.

"Justeru kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pihak polis dengan segera," katanya di majlis berbuka puasa di sini semalam.

Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan pelajar membuat laporan di ibu pejabat polis Tuaran setelah menemui mayat di Kampung Lepasan Norowat, dalam daerah Tuaran.

Setakat ini, polis telah menahan tiga orang suspek berkaitan kes pembunuhan Sherliana.

Noor Rashid berkata, orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Tuaran, Deputi Supritendan Suhaimi Wiro di talian 088791966 atau 0138510065 atau Pengawai Penyiasat Polis, Asisten Supritendan, Mohd. Taufik Maidin, 019 8307272.

Katanya, pihaknya juga masih menunggu laporan perubatan sama ada mangsa telah diserang secara seksual manakala DNA bagi mengenalpasti identiti sebenar mangsa.

"Bukti fizikal menunjukkan terdapat tanda-tanda mangsa dibunuh di tempat yang sama," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Tiada ulasan: