Ahad, 14 September 2008

Pesawat MASwings terjunam dalam sawah
Oleh SUMI MALENG


MIRI . – Sebuah pesawat jenis Twin Otter milik MASwings, yang membawa 12 penumpang menjunam ke sawah padi selepas terbabas dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Kecil Ba‘kelalan di sini pagi ini.

Pengurus Lapangan Terbang Miri, Sunif Naiman berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi itu turut menyebabkan juruterbang penerbangan MH3540 mengalami kecederaan ringan

Bagaimanapun, katanya, kesemua penumpang dan pembantu juruterbang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Insiden tersebut tidak menjejaskan operasi harian di lapangan terbang yang terletak di kawasan dataran tanah tinggi di utara Sarawak.

“Lapangan terbang tidak ditutup dan ia beroperasi seperti biasa,” semasa dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Lawas pada pukul 8.35 pagi, sebelum ia terbabas di Lapangan Terbang Kecil Ba‘kelalan pada pukul 9.35 pagi.

Pesawat tersebut turut dilaporkan mengalami kerosakan teruk pada bahagian badan pesawat akibat terlanggar pagar di lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, kejadian tersebut mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri Ba‘kelalan, Nelson Balang Rining yang bergegas ke bilik kawalan udara lapangan terbang Lawas sebaik menerima laporan kejadian pagi ini.

Bercakap kepada pemberita di Lawas, beliau memberitahu pihak bilik kawalan udara di Lawas menerima panggilan terakhir daripada juruterbang ketika pesawat berada pada ketinggian 2,500 kaki.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana kesemua penumpang selamat dan meminta pihak MASwings menghubungi semua ahli keluarga penumpang agar mereka tidak panik.

“Kita harap pihak MASwings dapat melakukan siasatan berhubung kejadian ini agar ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MASwings, Dr. Amin Khan ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, kejadian berlaku apabila kapal terbang tersebut mendarat lebih awal iaitu 10 meter daripada landasan lapangan terbang berkenaan.

Menurutnya, satu pasukan penyiasat telah dihantar bagi mengenal pasti punca berlakunya kemalangan tersebut.

Perkhidmatan penerbangan pesawat Twin Otter ke Ba‘kelalan adalah tiga kali seminggu iaitu Miri-Lawas-Ba‘kelalan pada setiap Isnin dan Sabtu dan penerbangan terus Miri-Ba’kelalan pada setiap Rabu.

Tiada ulasan: