Ahad, 28 September 2008

Perang mercun makin sengit
Oleh Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: ‘Perang mercun’ di beberapa flet di sekitar bandar raya ini makin menjadi-jadi apabila pihak tidak bertanggungjawab mengadakan promosi jualan secara berleluasa dari rumah ke rumah bagi memenuhi permintaan sempena Aidilfitri.

Seorang penduduk di Flet Taman Tampoi Indah, Hasron Samad, 36, berkata aktiviti jualan mercun giat dijalankan penganggur dipercayai diupah sindiket tertentu sejak pertengahan bulan ini.

Menurutnya, bunga api, mercun bola dan pelbagai jenis lain yang ditawarkan dengan harga serendah RM1 sehingga RM5 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak di flet berkenaan.

“Saya terkilan apabila anak saudara saya berusia lima tahun membawa pulang mercun bola yang dibeli dari sebuah unit flet yang dipercayai dijadikan stor menyimpan barangan larangan itu.

“Dia yang membeli beberapa mercun bola juga menyatakan individu yang menjalankan perniagaan itu sanggup menawarkan harga rendah jika membeli mercun dengan kuantiti banyak,” katanya

Hasron berkata, apa yang mengecewakan, aktiviti penjualan mercun bukan saja mengganggu keselesaan penduduk berikutan bunyi bising letupannya dari tengah malam hingga awal pagi, malah boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Mereka turut menawarkan perkhidmatan tempahan dan kiriman ke kediaman untuk mengaut keuntungan lebih.

“Beberapa jiran kami turut tidak puas hati dengan perang mercun yang keterlaluan kerana hampir setiap hari ada saja bunyi letupan mulai tengah malam sehingga jam 2 pagi.

“Mereka langsung tidak mengambil kira keselesaan pihak lain dan mengganggu ketenteraman penghuni yang mahu berehat selain menakutkan anak kecil, “ katanya.

Suasana sambutan Aidilfitri sejak lebih tiga tahun lalu di flet berkenaan terjejas pada tahun ini.

Ini kerana selama tiga sehingga empat jam kawasan perumahan dikuasai letupan mercun dan bunga api yang kuat.

“Kami sudah melaporkan kegiatan penjualan mercun kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM). Justeru, pihak berkuasa seharusnya bertindak telus membanteras kegiatan haram penjualan mercun kerana mampu mengundang masalah tidak diingini, “ katanya.

Sementara itu, Pengarah Kastam negeri, Mohd Subre Ishak, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap aduan penduduk di flet di Taman Tampoi Indah di sini, mengenai aktiviti penjualan mercun di situ.

“Apabila anggota kami memeriksa sesebuah kediaman di situ, kami dapati tiada bahan larangan ditemui di situ,” katanya.

“Kami berharap pengadu mampu memberi maklumat tepat, misalnya mengenai nombor pendaftaran kereta digunakan sindiket bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya, semalam.

Tiada ulasan: