Rabu, 10 September 2008

Pensiangan - Masa untuk rakyat Sabah tolak BN
Salahuddin Ayub


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pilihan raya di Sabah yang memutuskan kemenangan calon BN, Tan Sri Joseph Kurup di Parlimen Pensiangan sebagai tak sah dan batal ekoran pelanggaran peraturan pilihan raya oleh pegawai pengurus pilihan raya.

DPP Pusat melihat keputusan mahkamah ini akan memanaskan lagi keadaan politik di negara ini kerana ia berlaku ketika desas-desus ahli-ahli Parlimen Sabah akan meninggalkan BN bagi membentuk kerajaan Pusat yang baru pada pertengahan bulan ini.

Sebagaimana keputusan yang telah diambil oleh penduduk Permatang Pauh yang memberikan kemenangan besar kepada calon Pakatan Rakyat (PR), Dato'Seri Anwar Ibrahim yang dianggap mewakili aspirasi rakyat Semenanjung untuk perubahan politik, maka Pensiangan merupakan peluang terbaik bagi rakyat Sabah.

Rakyat perlu menunjukkan sikap mereka dalam soal ini sebagai satu mesej terhadap penindasan yang dilakukan oleh BN ke atas negeri mereka selama ini. Rungutan rakyat Sabah dalam soal ini sudah lama kedengaran dan mesej ini hendaklah dihantar dengan jelas kepada BN supaya penindasan ini dapat ditamatkan segera.

Sekarang ini adalah masa yang terbaik untuk pengundi Pensiangan mewakili hasrat rakyat Sabah bagi melakukan pembaharuan politik. Semenjak merdeka, pembangunan di Sabah amat ketinggalan sehingga meletakkan Sabah sebagai negeri yang paling tinggi kadar kemiskinannya.

Dari segi pembangunan infrastruktur juga, Sabah amat ketinggalan di mana pembangunan hanya berlaku di bandar besar seperti Kota Kinabalu dan Sandakan sahaja, sedangkan di tempat lain, khususnya luar bandar adalah amat ketinggalan.

Negeri Sabah yang selama ini mewakili 10 peratus daripada bilangan kerusi Parlimen juga terpinggir dari sudut politik di mana mereka dijadikan alat untuk mempertahankan kuasa BN sahaja. Keadaan inilah yang disifatkan oleh pemimpin Sabah sebagai 'tidur di tepi tandas dalam banglo BN'.

Hasrat untuk melakukan perubahan politik telah pun dilahirkan oleh wakil-wakil rakyat Sabah selepas pilihan raya ke-12 baru-baru ini.

Tetapi hasrat ini cuba dihalang oleh pemimpin BN dengan memberikan pelbagai tekanan supaya penghijrahan politik tidak berlaku.

Majoriti wakil rakyat Sabah sudah hilang percaya kepada BN dan mula meyakini pembentukan kerajaan baru yang lebih adil dengan PR.

Kini mereka memerlukan sokongan padu daripada pengundi Pensiangan untuk menyokong hasrat mereka.

Sebarang pendirian yang dibuat oleh pengundi Pensiangan akan mempengaruhi sikap wakil rakyat mereka.

Jika Sabah mahu 'dimerdekakan' semula pada 16 September ini, pengundi Pensiangan hendaklah membuat satu sikap yang tegas untuk menolak BN.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Kenyataan Media (9 September 2008)

Tiada ulasan: