Sabtu, 13 September 2008

Pengerusi JKKK perlu telus dan bertanggungjawab
SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung baru, bagan dan kampung tersusun supaya menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan adil dan saksama.

Menurut beliau, peranan JKKK dianggap sangat penting untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan bagi pengetahuan rakyat di peringkat akar umbi agar matlamat tersebut tercapai sepenuhnya mengikut perancangan kerajaan negeri.

“Mereka perlu memainkan peranan penting sebagai ketua bagi kelompok masyarakat dan penduduk kampung masing-masing. Mereka hendaklah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat tanpa mengira perbezaan politik. Malah, layanan dan perkhidmatan yang diberikan hendaklah secara adil dan sama rata,” katanya.

Abdul Khalid berkata, dengan pelantikan ini, jentera pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi boleh diperkukuh dan mampu mengatasi segala masalah pentadbiran yang berlaku di peringkat kampung.

“Mereka juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Malah dalam masa yang sama, perlu mewujudkan perhubungan yang rapat dan mesra dengan pentadbiran daerah bagi menyelesaikan banyak perkara dengan mudah dan memuaskan,” katanya.

Menurutnya, JKKK menjadi tulang belakang bagi melaksanakan hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ (MES).

“Mereka turut membantu kerajaan negeri untuk memastikan program yang dirancang ini sampai kepada golongan saran.

“Maksudnya, mereka merupakan sebahagian daripada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri dalam memberi penerangan dan kefahaman kepada penduduk kampung,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi JKKK Kampung Baru, Kampung Bagan dan Kampung Tersusun negeri Selangor, pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi JKKK Kampung Baru/Bagan/Tersusun di sini, semalam.

Seramai 74 dilantik sebagai Pengerusi JKKK bagi setiap kampung daripada 78 kampung yang terlibat.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, mereka yang dilantik perlu melalui proses temu duga mulai Mei lalu.

“Dalam pemilihan tersebut, hanya empat buah kampung lagi belum mempunyai calon yang sesuai bagi menjawat jawatan tersebut. Empat kampung tersebut ialah, Kampung Pulau Ketam, Klang, Kampung Ampang dan Kampung Semenyih di Hulu Langat serta Kampung Seri, Sungai Buluh, di Petaling,” katanya.

Tambah Ean, kaedah penilaian terhadap pengerusi JKKK yang baru ini juga sama seperti ketua kampung iaitu melalui tempoh percubaan selama enam bulan untuk disemak dan dinilai oleh Pejabat Daerah.

“Dalam tempoh percubaan tersebut, senarai Pengerusi JKKK ini akan dihantar untuk tapisan keselamatan oleh pihak polis. Kita juga telah menetapkan bahawa mereka yang dilantik ini tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Tiada ulasan: