Sabtu, 27 September 2008

Pelajar sedang ulang kaji maut tembok asrama runtuh
Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Ifwan Tun Tuah


TANJUNG KARANG: Walaupun persiapan menyambut 1 Syawal hampir siap, bagi pasangan Abdul Halim Ramli, 49; dan Samsiah Ibrahim, 43, Aidilfitri sudah tiada lagi bersama mereka bila tiba waktunya minggu depan.

Anak ketiga mereka, Mohd Farid Aidilfitri, 17, maut dihempap tembok bilik bacaan di asrama sekolahnya yang runtuh malam kelmarin.

Mohd Farid Aidilfitri, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun dekat sini, yang mengulang kaji pelajaran ketika kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mati di tempat kejadian kerana patah tengkuk dan pendarahan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ibrahim Chin, berkata ketika kejadian mangsa dan dua rakannya membaca di perpustakaan asrama apabila tembok bilik di tingkat satu bangunan itu tiba-tiba runtuh lalu menghempapnya. Dua lagi rakan mangsa sempat menyelamatkan diri.

“Mayatnya dibedah siasat dan sudah dituntut keluarganya. Siasatan awal jurutera Jabatan Kerja Raka (JKR) daerah mendapati tembok itu bukan struktur asal bangunan asal sekolah, sebaliknya pembinaan baru,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Walaupun polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah, pihaknya masih siasatan kejadian itu bagi mengetahui puncanya.

Sementara itu, Samsiah ketika ditemui di rumahnya di Gombak dekat sini, berkata kehadiran 1 Syawal tidak bermakna bagi keluarga mereka kerana Mohd Farid Aidilfitri sudah tiada lagi bersama untuk meraikannya.

“Segala persiapan Aidilfitri hampir selesai dan kami hanya menunggu masa untuk pulang ke kampung di Sekinchan, Tanjung Karang, esok (hari ini) apabila dikejutkan dengan berita kematiannya.

“Hati ibu mana tidak luluh... lenyap semua kegembiraan beraya,” katanya yang hanya mampu menangis sambil memeluk anak bongsu berusia empat tahun sambil menjelaskan Mohd Farid Aidilfitri dinamakan sempena kelahirannya pada hari raya keempat 1991.

Samsiah berkata, rakan dan guru asrama anaknya sempat mengajar Mohd Farid Aidilfitri mengucap sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Beliau yang pasrah dengan kehilangan anaknya yang dipanggil Fitri itu berkata, mereka sudah berjanji bertemu di Sekinchan hari ini, namun hajat itu tidak kesampaian.

“Saya menyuruh Fitri pulang dulu ke kampung yang dekat dengan sekolahnya hari ini (semalam) manakala saya bersama suami serta tiga lagi anak akan menyusul esok (hari ini).

“Fitri bersetuju dan memberitahu saya dia pun hendak membeli baju raya esok (hari ini) bersama rakannya. Tidak sangka semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya sambil mengesat air mata.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Gombak, jam 10 pagi semalam.

Tiada ulasan: