Selasa, 9 September 2008

Pakatan: Kenyataan Ahmad pendekatan politik perkauman sempit
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menyentuh sensitiviti kaum semasa berkempen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, bulan lalu yang disifatkan mereka sebagai pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan akhbar bersama oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR di sini, turut menyelar pendekatan itu yang sengaja digunakan untuk memecah belahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

“Sehubungan itu kami membantah ucapan yang dibuat Datuk Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin Umno Pulau Pinang.

“Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman Umno yang sebenarnya hanya bertujuan untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik mereka untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Melayu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Pakatan Rakyat turut mengulangi pendiriannya menjunjung prinsip-prinsip yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain.

Ia juga termasuk kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang dijamin oleh Perlembagaan.

Pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum Bumiputera.

Tiada ulasan: