Jumaat, 19 September 2008

Pak Lah 'reject', Anwar tinggal satu pilihan menghadap Yang di-Pertuan Agong buktikan beliau punya majoriti
KL POS/ Agensi


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam menolak tuntutan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Parlimen mengadakan sidang tergempar Selasa ini untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan.

'Saya tidak nampak keperluannya kerana Parlimen akan bersidang selepas Ramadan,' kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC semalam.

Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober ini.

Abdullah juga berkata beliau tidak ada rancangan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 'terhadap Anwar atau sesiapa pun'.

Sebelum itu, Anwar berkata beliau telah menghantar surat kepada Abdullah supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya, selewat-lewatnya 23 September ini.

Seorang peguam dan pakar perlembagaan berkata Anwar tidak boleh memaksa Parlimen bersidang.

'Itu kuasa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri,' kata Shad Saleem Faruqi kepada agensi berita Reuters.

Anwar kini mempunyai satu pilihan sahaja, yakni menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti dalam Parlimen.

Faruqi berkata Yang di-Pertuan Agong 'boleh menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen'.

Anwar berkata keputusan itu hanya akan dibuat selepas mesyuarat Pakatan Rakyat.

Abdullah semalam menegaskan bahawa sebarang perubahan pada pelan peralihan kuasa akan beliau bincangkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum dibawa kepada makluman Majlis Tertinggi.

Tiada ulasan: