Jumaat, 26 September 2008

Nasib Abdullah ditentukan dua minggu lagi
Mohd Rashidi Hassan


Kedudukan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawai sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno yang amat kritikal sekarang ini, dijangka akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Kedudukan Abdullah amat getir, keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini sebulat suara bersetuju menangguhkan pemilihan dari Disember ini kepada bulan Mac tahun depan sudah memendekkan tempoh hayatnya yang dijadualkan pada bulan Jun 2010.

Desakan pihak-pihak tertentu dalam Umno supaya Abdulllah berundur segera, berjaya dipendekkan daripada 21 bulan (Oktober 2008 - Jun 2010) kepada enam bulan sahaja.

Walaupun diberi alasan tempoh sehingga Mac diambil, untuk memberikan ruang kelicinan proses peralihan kuasa kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, namun besar kemungkinan ia lebih pendek dari tempoh enam bulan.

Selesai mesyuarat MT sebentar tadi, Abdullah berkata beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini sebelum persidangan perwakilan bahagian parti bermula.

Tempoh dua minggu itu diambil untuk Abdullah mengambil kira 'feedback' daripada Umno Bahagian yang akan bermula mengadakan persidangan 9 Oktober ini.

Di sebalik larangan peraturan Tataetika Umno yang ketat dan kelebihan undi bonus yang ada kepadanya sebagai Presiden Umno, Abdullah dilaporkan tidak yakin beliau dapat melepasi kuota pencalonan sebanyak 30 peratus atau dari 58 bahagian.

Ada sumber berpendapat, Abdullah berada dalam keadaan terdesak akibat keengganan timbalannya memberi laluan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi.

Sumber menyebut, Abdullah ada meminta Najib supaya mengumumkan segera untuk hanya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, sekaligus memberi laluan kepada beliau, tetapi Najib enggan berbuat demikian.

Justeru, Abdullah tidak ada pilihan. Rundingan orang-orang kem Abdullah dengan kem Najib menemui jalan buntu.

Abdullah sudah beberapa kali didesak berundur lebih awal oleh ahli-ahli Umno, hasrat beliau untuk kekal sebagai Presiden sepenggal lagi menemui jalan buntu.

Jika dalam tempoh dua minggu ini Abdullah gagal mendapat 'feedback' yang meyakinkan, Abdullah terpaksa berundur lebih awal.

Sudah tentu Abdullah tidak sanggup menerima malu jika penyandang jawatan Presiden mendapat pencalonan yang sedikit atau tidak layak bertanding jawatannya.

Tekanan yang dihadapi Abdullah turut dirasai calon Ketua Pemuda Umno iaitu menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kecewa ramai anggota pemuda dilarang menemui beliau

Jika Abdullah gagal kekal sebagai Presiden Umno, sekaligus, ia akan mematikan peluang Khairy untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. _

Tiada ulasan: