Khamis, 11 September 2008

MB Selangor jamin air percuma hingga jangka panjang
BERNAMA


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rakyat Selangor akan terus menikmati bekalan air sebanyak 20 meter padu secara percuma yang dinikmati sekarang dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ini berlawanan dengan kenyataan Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAs), Tan Sri Rozali Ismail semalam bahawa syarikat itu akan melanjutkan pemberian air percuma itu yang sepatutnya tamat 30 September ini sehingga 31 Disember.

Lanjutan pemberian air percuma itu berikutan persetujuan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) membuat pembayaran kepada SYABAS bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun ini, menurut Rozali.

Sebaliknya Abdul Khalid berkata: "Bukan hanya tahun ini anda akan mendapat air percuma, tetapi untuk jangka masa yang panjang. Jangan bimbang kerana ini hanya merupakan isu kecil. Saya fikir ia tidak relevan bagi sebuah syarikat kecil untuk bercakap mengenai isu kerajaan negeri."

"Adalah lebih baik bagi SYABAS untuk menumpukan perhatian kepada peranannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk mengagihkan bekalan air bersih kepada pelangganpelanggannya," kata beliau dalam sidang media selepas mempengersuikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

"Beliau (Rozali) tidak bertanggungjawab dalam semua hal ini, seperti air percuma, semua ini tidak mengenai dengan SYABAS, ia berkaitan kerajaan negeri," tambahnya.

Mengenai status kediaman exco kerajaan negeri di Seksyen 7 di sini yang terbiar tidak dimanfaat selepas kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, Abdul Khalid berkata, ejen hartanah telah dilantik bagi mencari penyewa kepada kediaman berkenaan.

Tiada ulasan: