Sabtu, 27 September 2008

MB Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Ribut di Sabak Bernam
NOOR ALLIA KASSIM


SABAK BERNAM - Seramai 94 orang mangsa bencana ribut di mukim Sungai Panjang dan Sabak Bernam dekat sini menerima bantuan berupa beras dan wang ringgit.

Bantuan sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah dan Yayasan Selangor itu disampaikan Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar Yayasan Selangor itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Bantuan beras disumbangkan Yayasan Selangor manakala wang ringgit diberikan LZS, JKM dan pejabat daerah mengikut kerosakan rumah yang dialami mangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan berkata proses penyaluran bantuan termasuk mengenalpasti mangsa dan kerosakan dapat dilakukan dalam tempoh 12 jam.

"Dalam tempoh itu semua mangsa ribut telah dikenalpasti dan diambil kira apa pertolongan yang boleh diberikan," katanya.

Beliau berkata proses itu digerakkan di peringkat daerah memandangkan pejabat daerah telah diminta melakukan persediaan menghadapi sebarang bencana.

"Saya berterima kasih kepada pegawai daerah dan rakan-rakan yang telah begitu cepat menyediakan bilik gerakan untuk membantu mangsa bencana ribut ini dan hasilnya semua mereka telah dapat kita bantu hari ini," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku pada 21 September lalu menyebabkan kerosakan kediaman penduduk dengan dua buah rumah mengalami kerosakan teruk.

Ia adalah kejadian kedua yang berlaku selepas bencana ribut di kawasan Selat Klang dan Rantau Panjang awal bulan ini.

Tiada ulasan: