Ahad, 14 September 2008

Mahfuz kesal RTM putarbelit kenyataan berhubung ISA
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa Radio Televisyen Malaysia (RTM) memutarbelitkan kenyataan beliau berhubung penahanan tiga aktivis dan wartawan di bawah ISA.

Ketika menghubungi Harakahdaily sebenta tadi, beliau menyatakan rasa kesalnya dengan laporan RTM yang didakwanya sengaja memutarbelitkan kenyataannya dengan menyatakan kononnya Mahfuz menyokong tindakan ISA ke atas Raja Petra Kamaruddin.

Tambahnya lagi, dalam kenyataannya melalui telefon bersama RTM, beliau menyatakan bahawa beliau menolak penggunaan ISA ke atas Raja Petra, dan PAS sendiri sememangnya menentang akta yang zalim itu.

"Saya pelik RTM memutarbelitkan kenyataan saya, sedangkan jelas kami menentang ISA.Jika Raja Petra bersalah sekalipun, beliau seharusnya dihadapkan ke mahkamah dan bukannya dengan menahan Raja Petra di bawah ISA tanpa bicara," ujarnya lagi.

Berang dengan kenyataannya diputerbelitkan RTM, beliau mendesak stesen berkenaan menyiarkan secara penuh perbualan melalui telefon berhubung kenyataan beliau yang dipetik RTM itu.

Baginya, penahanan Raja Petra; Teresa Kok Suih Sim dan wartawan Sin Chew Daily sebenarnya menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abdullah Badawi takut berhadaoan dengan perubahan kerajaan yang sedang dilaksanakan Pakatan Rakyat.

"Mereka bimbang dengan senario ini, seterusnya mengalih isu dengan mengada-gadakan isu yang kononnya mencetus api perkauman dan pergeseran agama yang menyebabkan tiga individu tersebut ditahan di bawah ISA, " ujarnya.

Justeru beliau mengulangi gesaan supaya tiga individu terbabit dibebaskan, dan RTM menyiarkan secara penuh kenyataan beliau yang diputerbelitkan sebelum ini._

Tiada ulasan: