Jumaat, 5 September 2008

Lapan negeri catat peningkatan kes denggi
BERNAMA


KUALA LUMPUR – Selangor mencatatkan kes demam denggi tertinggi daripada sejumlah 1,014 jumlah kes yang dilaporkan di seluruh negara sepanjang minggu lepas.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, selain Selangor yang mencatatkan 468 kes denggi, negeri-negeri lain yang mencatatkan peningkatan kes ialah Johor (102 kes), Terengganu (36), Kelantan (68), Melaka (30), Putrajaya (10), Sarawak (22) dan Pahang (27).

Tiada kematian dilaporkan bagi tempoh itu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kes demam denggi sehingga kini iaitu 30,956 kes dengan 71 kematian adalah lebih rendah berbanding 35,164 kes pada tempoh sama pada tahun lepas.

Dr. Hassan berkata: “Walaupun kajian kementerian menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai denggi adalah tinggi, hanya 32 peratus sahaja pesakit yang mendapatkan rawatan dalam masa tiga hari selepas gejala demam.

“Ini menyebabkan majoriti kes lewat dikesan dan mereka menjadi punca jangkitan kepada individu lain,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan oleh kementerian itu bersama pihak berkuasa tempatan masih mendapati 78 peratus premis yang positif pembiakan nyamuk Aedes adalah rumah kediaman dan kedai.

“Indeks pembiakan Aedes juga didapati tinggi di kawasan tapak pembinaan, tempat pembuangan sampah, taman permainan serta tanah dan lot kosong. Sikap penduduk yang kurang menjaga kebersihan masih menjadi faktor utama pembiakan nyamuk,” katanya.

Dr. Hassan berkata, sejumlah 411 kompaun bernilai RM73,551 serta notis arahan pembersihan dikeluarkan di seluruh negara sepanjang minggu lepas.

Tiada ulasan: