Isnin, 8 September 2008

Kompaun RM33.5j gagal dibayar
Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Sebanyak 343,302 daripada 555,748 kompaun kesalahan meletak kereta yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bernilai RM33.5 juta gagal dibayar Orang Kena Kompaun (OKK) sejak 2002 hingga Julai lalu.

Pegawai Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan itu bernilai RM45.4 juta tetapi pihaknya hanya dapat mengutip 194,102 kompaun bernilai RM7.9 juta.

Katanya, bagi tempoh sama, 272,131 kompaun bernilai RM24 juta dikeluarkan atas kesalahan mengikut akta, undang-undang kecil, enakmen, peraturan kerajaan negeri dan peraturan majlis yang diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Sehubungan itu, katanya, MBSA akan mengadakan kempen Pengurangan Bayaran Kompaun selama dua bulan bermula 2 September sehingga 31 Oktober ini dengan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi setiap kompaun tertunggak.

"MBSA mensasarkan untuk mengutip 15 peratus atau RM8.6 juta daripada jumlah keseluruhan kompaun meletak kereta tertunggak dan kesalahan lain berjumlah RM57.5 juta," katanya di sini.

Shahrin berkata, MBSA akan membuka kaunter tambahan di pusat beli-belah sekitar pusat bandar untuk memudahkan orang ramai membayar tunggakan itu selain kaunter utama di Wisma MBSA, pejabat cawangan di Sungai Buloh dan Kota Kemuning.

Katanya, Suasa Efektif (M) Sdn Bhd juga menyediakan cendera hati dalam bentuk kupon letak kereta selama sebulan bernilai RM60 bagi setiap 50 keping kompaun yang dibayar sebagai insentif.

Beliau berkata, OKK sepatutnya mengambil peluang itu untuk membayar tunggakan bagi mengelak MBSA melaksanakan waran tangkap dan mendakwa mereka di mahkamah.

"MBSA akan mengguna pelbagai cara untuk memaklumkan kepada orang ramai dan meningkatkan kesedaran supaya menjelaskan tunggakan termasuk hebahan menerusi laman web, poster dan banting," katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Undang-Undang MBSA di talian 03-55105133 sambungan 288/342/220/448 dan 227.

Tiada ulasan: