Khamis, 11 September 2008

Kerajaan tarik balik sekatan terhadap laman web dan blog
BERNAMA


PUTRAJAYA: Kerajaan menarik balik sekatan terhadap mana-mana laman web termasuk "Malaysia Today" berkuatkuasa serta merta, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor hari ini.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata langkah itu diputuskan Kabinet semalam bertujuan untuk terus menggalakkan rakyat negara ini menggunakan kemudahan internet atau lawan web sebagai saluran penyebaran maklumat.

Mengikut rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sebanyak 126 laman web disekat sejak Januari sehingga kini kerana melanggar pelbagai peraturan termasuk menghina agama dan menipu pengguna.

Bagimanapun katanya, satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil SKMM, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri ditubuhkan bagi memantau laman-laman web dalam negara terutama yang keterlaluan, berunsur hasutan dan perkauman.

Kerajaan berpendapat undang-undang dan peraturan-peraturan sedia ada boleh dikenakan ke atas pengendali laman web yang cuba merosak dan menjejaskan keharmonian negara.

"Kabinet juga meminta kerjasama Jabatan Peguam Negara mempercepatkan dakwaan bagi kes-kes yang melibatkan laman-laman web yang mempunyai unsur-unsur hasutan, perkauman dan menghina mana-mana agama sekiranya mempunyai bukti lengkap," katanya.

Katanya, kerajaan sedar bahawa akta-akta sedia ada, termasuk Akta Hasutan boleh digunakan bagi menangani mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif melalui internet, namun tindakan yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini agak lambat.

"Perkara seperti ini memerlukan penyiasatan yang teliti, macam di US kalau laman web yang ada unsur-unsur yang tak baik, dalam masa 10 minit sahaja Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan datang dan sita semua peralatan untuk mendapatkan bukti yang kukuh. Mungkin kita boleh bergerak ke arah itu," katanya.

Tiada ulasan: