Selasa, 16 September 2008

KERAJAAN PR DI PERINGKAT PUSAT HANYA IMPIAN?
Ruhanie Ahmad


Hari ini 16 September 2008. Pakatan Rakyat (PR) belum lagi mengambil-alih Kerajaan Pusat daripada kekuasaan Barisan Nasional (BN). Adakah ini bermakna ura-ura PR kebelakangan ini hanya mimpi kosong? Adakah ini juga bermakna BN akan terus memerintah Malaysia dalam siatuasi yang agak kurang stabil?

Anehnya, malam tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa beliau yakin boleh menubuhkan kerajaan baru. Tetapi, Anwar memberikan tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.

Menurut Anwar, rundingan itu bagi memastikan peralihan kerajaan berlaku secara aman. Ini kerana PR sudah mempunyai Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar juga menegaskan, beliau serta pemimpin Pas dan DAP menghantar surat kepada Abdullah semalam meminta diadakan satu pertemuan segera mengenai isu itu.

''Saya memberi masa dua minggu kepada Abdullah untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran ini atau tidak. Kita ingin adakan pertemuan dengan Perdana Menteri bertujuan berbincang untuk peralihan kuasa secara aman dan tenteram selain membebaskan tahanan politik,'' katanya.

Bagaimanapun, Abdullah yang berada di Kuala Terengganu, menyifatkan rancangan PR menubuhkan kerajaan baru hari ini sebagai sesuatu perkara yang karut. Pertukaran kerajaan baru seperti yang dicanangkan oleh Anwar tidak akan berlaku.

Abdullah juga meminta semua pihak menghentikan daripada memperkatakan dan menyebarkan tentang perkara tersebut.

Demikianlah hakikatnya ura-ura PR pada saat dan ketika ini? Tetapi, mengapakah Anwar begitu yakin bahawa PR akan menguasai Kerajaan Pusat? Benarkah memang sudah ada Ahli Parlimen BN yang telah bersetuju menganggotai PR? Benarkah dua parti komponen BN Sarawak diura-urakan antara parti yang akan menganggotai PR?

Soalnya juga, mengapakah Abdullah begitu yakin bahawa beliau tidak akan disingkirkan tidak lama lagi? Bagaimanakah jika memang sudah ada Ahli Parlimen dan parti komponen BN yang akan menganggotai PR? .

Tiada ulasan: