Khamis, 11 September 2008

Kerajaan Kedah dakwa CEO syarikat GLC pecah amanah
BERNAMA


ALOR STAR: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengeluarkan arahan serta-merta kepada pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan pecah amanah wang syarikat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Beliau berkata bahawa selepas enam bulan mentadbir kerajaan negeri, pihaknya telah mengesan penyelewengan dan salah guna kuasa beberapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat GLC membabitkan pecah amanah bernilai puluhan juta ringgit.

"Selepas penyusunan semula CEO, lembaga pengarah dan melakukan audit terhadap GLC, kerajaan negeri mengesan beberapa perkara yang tidak telus dilakukan oleh CEO semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Sebelum ini tindakan tidak diambil kerana tidak mahu gopoh tapi kini bukti sudah cukup dan kita akan serah perkara ini kepada pihak berkuasa secepat mungkin,"katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Azizan berkata kebanyakan CEO yang terlibat telah berhenti setelah pentadbiran kerajaan negeri Kedah diambil alih oleh Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya terdapat lebih 130 syarikat GLC di bawah kerajaan negeri Kedah tetapi hanya beberapa syarikat dikesan melakukan pecah amanah terbabit.

Tiada ulasan: