Isnin, 15 September 2008

Keputusan ajar Sains, Matematik dalam BI diumum hujung tahun
Oleh OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI - Kementerian Pelajaran akan membuat keputusan sama ada mengekalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau sebaliknya, selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana keputusan mengubah dasar PPSMI secara drastik tidak dapat dibuat pada masa kini memandangkan proses penilaian mengenainya sedang dijalankan.

Malah, katanya, PPSMI yang sedang berlangsung juga perlu dilaksanakan sehingga tamat tempoh iaitu kepada penghujung tahun ini.

"Memang desakan sama ada kita ubah balik (ke dalam bahasa Melayu) atau kekal, datang daripada kedua-dua belah pihak. Oleh sebab itu, kita perlu melihat pandangan secara menyeluruh.

"Sungguhpun begitu, Kementerian berpendapat, masa yang sesuai untuk kita umumkan penyesuaian kepada kehendak pihak-pihak berkenaan ialah selepas keputusan UPSR tahun ini diketahui," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim dan ibu tunggal anjuran Pertubuhan Belia Nur Kasih dan Pergerakan Puteri UMNO Kedah di sini malam ini.

Hishammuddin diminta mengulas gesaan supaya beliau meletak jawatan jika gagal melaksanakan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu semalam.

Cadangan itu merupakan keputusan yang dicapai pada Persidangan Meja Bulat Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu dengan alasan bahasa Inggeris gagal membantu murid-murid menguasai Sains dan Matematik.

Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, daripada analisis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, hampir 30 peratus pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) gagal Bahasa Inggeris.

Menurut Hishammuddin, Kementerian Pelajaran memerlukan jangka masa yang lebih realistik iaitu sehingga penghujung tahun ini bagi membuat keputusan terbabit.

Katanya, pihaknya juga tidak akan membelakangi sebarang keputusan ataupun cadangan yang dibuat melalui Persidangan Meja Bulat tersebut.

"Kita sudah adakan dua persidangan meja bulat dan sekarang persidangan ketiga sedang berlangsung. Daripada persidangan itu, kita telah bincangkan 16 kertas kerja.

"Ada yang sokong dan ada juga tidak sokong. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada cadangan sahih yang membolehkan kita merumus bahawa ia perlu diubah sekarang," ujarnya.

Ditanya tentang gesaan meletak jawatan, Hishammuddin memberitahu, beliau memegang jawatan tersebut kerana amanah dan tanggungjawab.

Oleh itu, beliau berkata, soal jawatan bukanlah sesuatu pertimbangan mutlak baginya.
"Saya tahu keputusan yang dibuat memang tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Polisi PPSMI wujud sebelum saya pegang jawatan.

"Namun begitu, selagi saya pegang jawatan ini, saya tetap perlu pikul dan lakukan sebaik-baiknya," katanya.

Hishammuddin yakin, sebarang keputusan yang akan dibuat kelak adalah untuk kepentingan para pelajar generasi akan datang.

''Ini sesuatu yang akan menentukan nasib dan masa depan anak-anak kita. Kalaulah selepas diumumkan itu ia masih dalam keadaan teruk dan semua NGO rasakan tidak sesuai, selepas itu saya dengan rela hati boleh letak jawatan,'' katanya.

Tiada ulasan: