Selasa, 2 September 2008

Kenyataan perkauman anggota BN punca gagal rampas Permatang Pauh?
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Gerakan akan mengemukakan cadangan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak lama lagi supaya ahli politik dalam komponen BN dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan atau mana-mana undang-undang berkaitan jika mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perkara itu penting bagi membendung kesan daripada kenyataan berbaur perkauman hingga mampu merosakkan reputasi parti komponen yang lain.

"Disebabkan ada kenyataan dan tindakan seperti ini, pengorbanan kita bertungkus lumus untuk rakyat, boleh jadi siasia, kalau rakyat menilai kita daripada apa yang diperkatakan oleh pemimpin komponen lain," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, kenyataan berbaur perkauman oleh seorang ahli politik di Pulau Pinang barubaru ini yang tersebar di kalangan pengundi Cina di Permatang Pauh menghakis sokongan komuniti itu kepada BN.

Beliau berkata, sebagai komponen yang bernaung di bawah bumbung BN, perkara sedemikian tidak harus berlaku terutamanya dalam usaha BN untuk memenangi semula hati rakyat.

Gerakan, katanya juga berhasrat untuk melihat pembentukan satu kod etika dan prosedur tindakan tata tertib kepada ahli politik dalam komponen yang mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang berbaur perkauman yang lebih jelas.

Katanya, kod etika dan prosedur tatatertib yang digunakan di peringkat parti-parti komponen sekarang dilihat tidak begitu berkesan dalam menangani perkara tersebut.

"Kita perlu satu garis panduan yang jelas dalam memastikan agenda komponen bergerak selari dengan kemahuan semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: