Ahad, 14 September 2008

Isu SAPP, PAS Sabah sokong Mursyidul Am
Sahar Abdul Majid


KOTA KINABALU - PAS Sabah menyokong penuh saranan Mursyidul Am Pas Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Parti Maju Sabah (SAPP) berjuang bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR) bagi membela rakyat keseluruhannya.

Sebelum ini SAPP adalah antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang begitu lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dilihat melawan arus dasar kepimpinan beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Hamzah Abdullah menyifatkan saranan Tuan Guru Nik Aziz itu amat bertepatan sekali dengan suasana politik hari ini.

"Kita menyambut baik pelawaan Tok Guru, kerana ini lah masa terbaik untuk SAPP bersama dengan Pakatan Rakyat kerana sesungguhnya Dato' Yong Teck Lee sememangnya layak kerana dia berjuang untuk rakyat Sabah" ujar beliau ketika diminta mengulas kenyataan Tuan Guru baru-baru ini.

Dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Harakahdaily.net kelmarin, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek BandarStelit Pasir Tumbuh, Khamis lalu apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.

Sehubungan dengan itu, PAS Sabah secara umumnya menasihatkan Yong agar menyesuaikan dirinya dalam suasan politik semasa yang serba baru ini jika beliau bersungguh untuk bersama Pakatan Rakyat.

Hamzah yang juga YDP PAS Kawasan BatuSapi berkata, secara peribadi beliau amat mengenali Datuk Yong semasa mereka belajar bersama di London dahulu.Pada masa itu Hamzah mengetuai Kesatuan Pelajar Sabah United Kingdom.

Beliau juga pernah membantu Yong dalam kempen pilihan raya umum 1995 sewaktu menerajui SAPP sebagai sebuah parti serpihan selepas berpisah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada masa itu.

"Datuk Yong, yang saya kenali sememangnya tebal dengan semangat Cauvinis Cina yang berjuang untuk kepentingan orang-orang cina," Ujarnya.

Hamzah menambah, kesediaan Yong dan SAPP menyesuaikan diri dengan suasana politik yang berlandaskan kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan untuk memartabatkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif terbaik kepada rakyat Sabah menjadi keutamaan ketika ini. _

Tiada ulasan: