Ahad, 14 September 2008

ISA `Low Class' dan jatuhkan nama baik Malaysia
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan menyelesaikan masalah dalam negara kerana ia merupakan satu undang-undang yang tidak munasabah dan `low class' dan boleh menjatuhkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Saf kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor sepakat membantah dan menyatakan kekesalan dengan penangkapan exco kerajaan Negeri yang juga Ahli Parlimen Seputeh serta Adun Kinarara, Teresa Kok di bawah ISA.

Dalam sidang media yang dihadiri semua Adun Pakatan Rakyat, di kediaman rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, Teresa merupakan seorang exco yang matang dalam usaha untuk menentukan negara berbilang kaum dapat hidup dengan penuh harmoni.

"Saya sebagai MB tidak nampak mengapa beliau perlu ditangkap, boleh jadi penangkapan beliau akan menimbulkna negara mungkin tidak tenteram," katanya.

Beliau menegaskan, penangkapan Teresa itu merupakan satu keputusan kerajaan BN yang jelas tidak bijak dan ISA digunakan hanya untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyokong Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan Pusat.

"Saya minta Teresa, Raja Petra dan tahanan lain dalam ISA dibebaskan. Undang-undang ini tidak perlu dilaksanakan kerana Malaysia sudah merdeka selama 51 tahun," tegasnya.

Kata beliau, pada 16 September rakyat akan menyambut hari Malaysia tetapi sambutan itu tidak bermakna kerana rakyat masih tidak bebas dan hidup masih dibelenggu dengan akta ISA.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan memberi bantuan khidmat guaman terhadap Teresa supaya beliau mendapat keadilan.

BN selesai kepincangan laksana ISA

Speaker Dun, Teng Chang Khim yang terkejut dengan penangkapan Teresa berkata Selangor merupakan negeri yang pertama dalam sejarah mempunyai dua orang Adun yang ditahan bawah ISA.

Beliau yakin penahanan Teresa Kok adalah tektik BN untuk menyelesaikan kepincangan dalaman yang berlaku dalam parti mereka.

"Saya terkilan kerana Teresa ditahan atas dakwaan mengancam ketenteraman awam," jelasnya.

Bagaimana seorang yang baru memberi taklimat kepada delegasi pelabur dari Guang Dong, China semalam dengan tujuan menarik pelaburan asing boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan negara?, soalnya.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Istiadat Melayu dan Infrastruktur Awam, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali menganggap tangkapan tersebut merupakan satu titik hitam negara dalam suasana akan berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan.

"Kita dapati tekanan demi tekanan berambah runcing kerana pimpinan BN melihat peralihan kuasa akan berlaku menjelang 16 September ini," jelasnya.

Beliau berkata, pimpinan BN tidak boleh menerima sokongan padu daripada rakyat terhadap lima buan negeri yang diambil oleh Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, Umno sudah bercelaru dimana Perdana Menteri sudah dicabar oleh orang kanannya dan itu menunjukkan bahawa Umno sudah berada ditahap paling lemah.

Justeru, katanya ,untuk membangkitkan kekuatan Umno dan sokongan rakyat BN mencari jalan untuk menafikan kejayaan Pakatan Rakyat yang telah memerintah selama enam bulan.

"Inilah agenda BN yang telah dilakukan dalam Operasi Lalang dan kemungkinan tangkapan akan lebih luas lagi selepas ini, " tegasnya.

Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali menegaskan dalam Islam tidak ada hukum jika benar Teresa didapati bersalah sekalipun, penangkapan tanpa bicara tetap tidak boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, penangkapan Teresa atas alasan melarang penggunaan pembesar suara ketika melaungkan azan adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.

Katanya, dalam mesyuarat exco Rabu lalu, Teresa telah menafikan bahawa beliau tidak terlibat langsung dalam larangan tersebut.

Beliau berkata, tindakan kerajaan BN itu amat buruk kerana Teresa merupakan seorang ahli Parlimen dan Adun wanita.

"Saya menyeru seluruh wanita supaya menyatakan sokongan kepada Teresa kerana kerajaan BN telah melakukan satu tindakan yang begitu kejam," tegasnya.

Bekas tahanan ISA, Shari Sungib tidak rela jika seorang Yang Berhormat yang bertugas membela rakyat dan berusaha membangunkan ekonomi negara dipaksa berbogel ketika dalam tahanan sebagaimana yang pernah dilalui dahulu.

Menurut beliau, itu merupakan tektik yang digunakan oleh pihak penjara tanpa segan silu untuk mencabul maruah tahanan ISA.

"Saya tidak rela perkara ini berlaku kepada seorang wanita yang dipilih secara demokratik menang di peringkat Parlimen dan Dun tetapi pihak Polis boleh mengaibkan beliau," katanya.

Beliau berkata, itu membuktikan bahawa demokrasi amat kritikal dalam negara._SH

Tiada ulasan: