Selasa, 9 September 2008

Guan Eng: Keadaan banjir semakin pulih
BERNAMA


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata keadaan banjir di negeri ini pada keseluruhannya semakin pulih dan kebanyakan mangsa mula dibenarkan pulang.

"Banjir yang berlaku di negeri ini adalah disebabkan oleh kenaikan paras air di Sungai Muda akibat hujan yang berterusan di Kedah.

"Air itu mengalir ke sungai itu (Sungai Junjung di Butterworth) dan melimpah ke tebing, keadaan tidak terlalu serius kerana tidak ada hujan sejak semalam (Ahad)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga pagi tadi hanya satu sahaja pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu di Kampung Permatang Tok Subuh, bagaimanapun pada tengah hari kesemua pusat pemindahan telah ditutup.

Lim berkata satu mesyuarat akan diadakan petang ini bagi mengenal pasti punca banjir dan langkah mengatasinya.

Banjir yang berlaku Sabtu lepas berpunca daripada hujan lebat kira-kira 10 jam dan mengakibatkan 177 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan P. Ramlee, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang di bahagian pulau dan di tanah besar pula ialah di Kampung Tok Suboh, Kampung Suluk, Sungai Batu dan Kampung Paya.

Tiada ulasan: