Isnin, 8 September 2008

Guan Eng jawab Hisham
Malaysiakini


Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini menjawab pertanyaan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai tapak untuk membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina, Tamil dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang kerajaan negeri janjikan.

Lim berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenalpasti lapan tapak untuk pembinaan cawangan sekolah-sekolah berkenaan.

Ketika ini, katanya, kerajaan negeri masih menunggu jawapan kerajaan pusat berhubung permohonan untuk kelulusan dan peruntukan kewangan bagi pembinaannya, demikian menurut laporan Bernama.

"Ini adalah jawapan bagi kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertanya di mana tanah untuk bina cawangan sekolah yang kerajaan negeri janjikan," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Lim berkata SMJK (C), SMJK (T) dan SAR akan dibina di kawasan pulau dan juga di daerah Seberang Perai.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara tepat kawasan yang telah dikenalpasti itu.

"Kita berharap kerajaan pusat akan segera memberi jawapan berhubung permohonan yang telah dikemukakan.

"Kerajaan negeri akan putuskan di mana sekolah itu akan dibina kelak," katanya.

Beliau berkata, pembinaan cawangan sekolah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan Pakatan Rakyat (PR) terhadap keperluan pendidikan rakyat di negeri ini.

"Kerajaan negeri akan bina sekolah itu di beberapa tempat dan tidak tertumpu hanya di satu-satu kawasan sahaja, kita mahu semua rakyat dapat menikmati kemudahan pendidikan," katanya.

Tiada ulasan: