Rabu, 17 September 2008

Dr. Mahathir sertai UMNO hari ini?
UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bebas menentukan masa yang sesuai untuk beliau kembali ke pangkuan UMNO.

Menurutnya, beliau sendiri tidak pasti sama ada Dr. Mahathir akan menyertai parti itu esok seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

''Saya tidak ada maklumat tentang perkara itu kerana hanya dimaklumkan mengenai hasrat beliau itu minggu lalu. Berkenaan tarikh sebenar, saya tidak pasti.

''Perkara terbaik, kita perlu tanya sendiri kepada Dr. Mahathir," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Media anjuran kementeriannya di sini malam ini.

Ibu Pejabat UMNO dilaporkan belum menerima surat permohonan Dr. Mahathir untuk kembali semula ke pangkuan UMNO walaupun perkara itu telah dihebohkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilaporkan berkata, pihaknya setakat ini menganggap ia hanya sebagai 'cakap-cakap' selagi tidak menerima surat tersebut.

Tiada ulasan: