Khamis, 11 September 2008

Dan kini, heboh pula kenyataan 'tembak wartawan'
MALAYSIAKINI


Ketika isu yang membabitkan Datuk Ahmad Ismail telah hampir reda, kini tercetus satu lagi kontroversi membabitkan seorang lagi pemimpin Umno.

Sekurang-kurangnya dua laporan polis telah dibuat terhadap ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, yang juga setiausaha Umno negeri dan ahli dewan undangan negeri Penaga.

Dalam satu sidang akhbar dua hari lalu, Azhar telah mensasarkan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, yang pertama melaporkan kenyataan Ahmad yang didakwa memperkecilkan kaum Cina dalam satu ceramah Barisan Nasional (BN),

Azhar dilaporkan berkata bahawa apa yang ditulis itu boleh mencetuskan rusuhan kaum dan jika ia berlaku, maka wartawan tersebut sepatutnya ditembak.

Sidang akhbar itu, yang diadakan oleh Ahmad, menjadi kecoh apabila gambar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga pengerusi BN Pulau Pinang, diturunkan dari dinding ibupejabat Umno dan dikoyak.

Laporan polis yang terbaru dibuat oleh ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di balai polis Sentul di Kuala Lumpur.

Lim yang merujuk kepada laporan Malaysiakini semalam, berkata tindakan Azhar itu boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan.

Menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah melakukan ugutan jenayah boleh dihukum sehingga tujuh tahun penjara.

"Oleh itu, saya menggesa pihak polis menyiasat perkara itu dengan segera," kata Lim.

Majlis Tertinggi (MT) Umno hari semalam memutuskan untuk menggantung keahlian Ahmad selama tiga tahun.

Beliau juga dilucutkan dari semua jawatan dalam parti.

Tiada ulasan: