Selasa, 9 September 2008

BN kemuka rayuan pembatalan kemenangan Kurup
BERNAMA


PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Tan Sri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum Mac lepas batal dan tidak sah.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, BN akan membuat persediaan menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu sekiranya perlu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan mahkamah itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Permata Negara, di sini, hari ini.

Kurup merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah.

Kurup menang tanpa bertanding bagi kerusi itu pada pilihan raya umum itu setelah kertas pencalonan calon Parti Keadilan Rakyat, Danny Anthony Andipai ditolak.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam membuat keputusan hari ini memberikan alasan antaranya penolakan kertas pencalonan itu adalah salah dan melanggar hak perlembagaan seseorang untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Tiada ulasan: