Isnin, 8 September 2008

Banjir kilat di Pulau Pinang kali ini paling buruk
BERNAMA


PULAU PINANG: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak semalam berikutan hujan lebat selama 10 jam disifatkan sebagai yang paling buruk sejak 14 tahun lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kira-kira 10,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah terlibat dengan bencana itu.

"Hujan lebat kirakira 10 jam menyebabkan kira-kira 177 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semalam. Bagaimanapun 1,000 keluarga sudah dibenarkan pulang sejak pagi ini setelah air mulai surut," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan banjir hari ini.

Beliau berkata antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan P. Ramlee, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang di bahagian pulau dan di tanah besar pula ialah di Kampung Tok Suboh, Kampung Suluk, Sungai Batu dan Kampung Paya .

Katanya setakat ini kerajaan negeri telah menerima 10 laporan berkaitan tanah runtuh dan mendapan tanah sehingga terpaksa menutup jalanjalan berkenaan untuk kerja pembersihan.

"Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Tun Sardon Balik Pulau berikutan terdapat tanah runtuh dan mendapan tanah. Ia akan ditutup selama tiga hari," katanya.

Lim berkata beliau juga akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi berkenaan hari ini bagi membincangkan bentuk bantuan kepada penduduk.

"Selain itu, kita akan berbincang mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian banjir kilat teruk berulang semula. Inilah banjir yang terburuk setakat ini," katanya.

Katanya kerajaan negeri juga akan meminta kerajaan pusat menyalurkan lebih banyak bantuan dan peruntukan terutama membabitkan projek tebatan banjir.

"Pada masa ini, kerajaan pusat hanya meluluskan peruntukan sebanyak RM380 juta untuk projek berkenaan, bagaimanapun jumlah ini tidak mencukupi kerana memerlukan kira-kira RM1 bilion untuk keseluruhan projek," katanya.

Beliau berkata peruntukan RM380 juta itu hanya digunakan untuk projek menaik taraf dan memulihkan Sungai Pinang (RM130 juta), Sungai Junjung (RM125), Bukit Tambun (RM50 juta) dan Valdor (RM50 juta).

Tiada ulasan: