Ahad, 14 September 2008

Amerika panggil duta M'sia, bantah operasi ISA
Laporan AFP


Amerika Syarikat telah memanggil duta Malaysia ke Washington untuk membantah operasi penangkapan di bawah ISA ketika pembangkang berusaha untuk mengambil alih kuasa di Kuala Lumpur.

Ilango Karuppannan, dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika selepas seorang ahli politik, seorang blogger terkemuka dan seorang wartawan, ditangkap di bawah ISA, yang membolehkan mereka ditahan tanpa bicara, kata satu sumber diplomatik.

Operasi itu dilancarkan ketika wujudnya kebimbangan di Kuala Lumpur bahawa kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merancangkan melancarkan operasi penangkapan ketika ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru apabila ahli-ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat.

"Pandangan dan bersuara mengenai politik secara aman merupakan satu hak asasi dan amat penting dalam demokrasi," kata seorang pegawai Jabatan Negara kepada AFP.

"Amerika Syarikat percaya bahawa kerajaan Malaysia perlu menyediakan layanan dan proses sewajarnya, yang konsisten dengan undang-undang Malaysia dan standard antarabangsa," kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disebut.

"Kita mengharapkan negara-negara yang mengamalkan demokrasi yang memperjuangkan kebebasan menyuarakan pandangan politik, tidak menyekat kebebasan tersebut," katanya.

Ini adalah kali kedua Ilango dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika bulan ini.

Sebelum ini, beliau dipanggil selepas Anwar didakwa atas tuduhan liwat - satu tuduhan yang didakwa oleh ketua pembangkang itu, sengaja direka oleh kerajaan selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Menteri Luar, Datuk Rais Yatim sebelum ini mengecam Washington yang didakwanya telah campurtangan dalam urusan dalam negeri Malaysia.

Tetapi Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice berkata, Washington akan terus bersuara mengenai kes-kes yang membabitkan hak asasi manusia dan politik "dalam semangat hormatnya kepada Malaysia".

Dibangkitkan di Sidang PBB

Ketiga mereka yang ditahan di bawah ISA semalam ialah blogger Raja Petra Kamaruddin; ahli Parlimen DAP, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Tiga buah akhbar - akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily; akhbar berbahasa Inggeris, The Sun dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan - turut diberi surat tunjuk sebab berhubung laporan mereka mengenai perkembangan politik semasa.

"Amerika Syarikat amat mempercayai bahawa kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara menjadi asas dalam demokrasi," kata pegawai itu lagi.

Badan-badan hak asasi manusia turut mengecam penahanan mereka, dengan mengatakan ia merupakan satu penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Abdullah.

Amnesty International mahu Amerika Syarikat menimbang untuk membangkitkan kes tersebut dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekarang, di mana terdapat satu forum khas yang meneliti keadaan hak asasi manusia di negara-negara anggota PBB, kata Pengarahnya bagi Asia Pasifik, T Kumar.

Kataya, kerajaan mesti membebaskan kesemua tahanan ISA dan tidak menggunakan undang-undang tersebut sebagai alat untuk mengekalkan kuasa politik.

Human Rights Watch dari Amerika pula berkata, tindakan Malaysia itu akan memburukkan reputasinya jika mereka yang ditahan itu tidak dibebaskan.

"Nampaknya kerajaan Malaysia merasakan ia hanya boleh mengekalkan kuasa dengan memenjarakan wartawan dan ahli-ahli politik pembangkang," kata Timbalan Pengarahnya bagi Asia, Elaine Pearson.

"Taktik seumpama itu tidak ada tempat dalam demokrasi moden," tambahnya.

Tiada ulasan: