Khamis, 11 September 2008

Ahmad reda, tidak akan pohon maaf
Oleh SA'ODAH ELIAS


KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Ismail, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera yang digantung keahlian dan dilucutkan haknya dalam parti selama tiga tahun reda dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT).

"Ini adalah qada dan qadar Allah. Saya reda. Dalam politik ada pemimpin dan ada pejuang, dan sebagai pejuang saya sanggup terima semua risiko demi menegakkan perjuangan saya," kata beliau ketika ditemui pemberita sebaik diberitahu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tentang keputusan MT petang ini.

Menurut Ahmad, sebagai pejuang beliau tidak sekali-kali akan memohon maaf kerana bercakap tentang sesuatu yang fakta dan bukan satu penipuan.

"Tidak, tidak sekali-kali saya akan mohon maaf. Saya tidak melakukan kesalahan, fasal apa saya hendak minta maaf. Dan kerana itulah juga saya diambil tindakan oleh Umno, kerana saya bukan kaki bodek," tambahnya.

Sambil meminta semua penyokong beliau di Bukit Bendera dan di tempat-tempat lain agar bersabar dan bertenang, Ahmad juga dengan sinis mengucapkan tahniah kepada pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang telah "menang" kali ini.

Beliau mendakwa penyokong-penyokongnya telah pun mengatur 10 bas untuk membawa ahli-ahli Umno untuk menunjukkan sokongan kepada beliau di hadapan ibu pejabat parti hari ini tetapi berjaya beliau pujuk agar tidak berbuat demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Ahmad mendakwa beliau adalah mangsa politik kerana Umno terpaksa mengambil tindakan terhadapnya atas desakan komponen Barisan Nasional (BN) walaupun ia satu keputusan yang sukar kerana beliau sebenarnya tidak melanggar sebarang tata etika parti.

"Bagaimanapun ini bukan bererti berakhirnya kerjaya politik saya. Tiga tahun adalah masa yang cukup panjang bagi saya mengukuhkan lagi kedudukan saya untuk saya kembali lebih kuat nanti," tegasnya.

Katanya, beliau juga akan cuba memberi penerangan kepada semua bahagian di Pulau Pinang serta di negeri-negeri lain bagi menjelaskan isu berkenaan agar ia tidak disalahertikan sehingga menjejaskan perpaduan parti.

Tiada ulasan: