Selasa, 19 Ogos 2008

Zulkifli: Saya 'hilang' kerana urusan peribadi
oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: "Saya hilang atas urusan peribadi, tak perlu saya jelaskan kepada anda," kata Zulkifli Nordin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, telah menghilangkan diri kira-kira seminggu yang lalu muncul di Parlimen petang ini.

Zulkifli yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) difahamkan tidak pulang ke rumahnya sejak membantah forum berkenaan.

Tambahnya, sepanjang tempoh kehilangannya itu beliau tidak ditahan oleh Akta Dalam Negeri (ISA).

Semasa kehilangannya, ada khabar angin mengatakan beliau ditahan di bawah akta berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli berkata beliau hadir ke Parlimen memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan PKR berhubung kehilangannya selepas membantah Forum Islam anjuran Majlis Peguam.

"Saya sudah memberi penjelasan kepada parti. Saya hadir atas kapasiti ahli Majlis Peguam Pembela Islam dan bukannya sebagai ahli politik PKR," katanya di Parlimen hari ini.

Jelasnya, kehadiran beliau di forum berkenaan adalah bagi memastikan forum tersebut dihentikan dalam tempoh masa yang dipersetujui.

Naib Presiden Parti Keadlian Rakyat, Azmin Ali mengesahkan perkara berkenaan.

"Dia telah memberi penjelasan kepada saya. Dan saya terima penjelasannya," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Azmin, beliau juga telah memberikan tarikh yang sesuai kepada Zulkifli untuk turun berkempen membantu jentera PKR dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Zulkifli turut menyatakan kesediaannya turun padang membantu PKR di sana.

"Saya akan turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar bermula Rabu ini hingga ke hari pengundian," katanya.

Semasa kehilangan Zulkifli, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali juga mengkritik tindakan seorang penguam dan yang juga Ahli Parlimen yang mendakwa bertindak bagi pihak umat Islam tetapi menggunakan kata-kata tidak bertamadun dan kasar ke arah penganjur forum berkenaan.

Difahamkan kenyataan Syed Husin itu ditujukan kepada Zulkifli.

Tambah Zulkifli, kenyataan beliau membuat kacau-bilau pada forum berkenaan adalah tidak benar dan merupakan satu tuduhan jahat ke atas peribadi beliau.

"Saya hadir hanya mahu memastikan ia diberhentikan mengikut jadual kerana mereka (Majlis Peguam) berjanji untuk menghentikannya pada jam 10 pagi kerana orang ramai semakin ramai meminta ia dihentikan," katanya.

Beliau menegaskan kehadirannya hanyalah memperjuangkan hak orang Islam dan bersetuju jika forum berkenaan diadakan secara tertutup.

Tegasnya, beliau akan mengemukakan satu notis bagi menghalang forum terbuka yang menganggu gugat agama Islam.

"Saya akan kemukakan notis itu di Parlimen. Semuanya masih diperingkat perbincangan dan akan dibentangkan secepat mungkin," katanya.

Tiada ulasan: