Khamis, 21 Ogos 2008

Umno tangguh mesyuarat cawangan
Abdul Rahim Sabri


Semua mesyuarat cawangan Umno di seluruh negara telah ditangguhkan selama 11 hari ekoran pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Arahan tersebut dibuat oleh ibupejabat Umno melalui surat pekeliling yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Dalam surat tersebut, semua cawangan diarahkan menangguh mesyuarat masing-masing mulai 18 hingga 29 Ogos ini.

Penangguhan tersebut dibuat untuk membolehkan Umno memberi tumpuan membantu calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Permatang Pauh.

Penamaan calon berlangsung pada 16 Ogos lalu, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 26 Ogos ini.

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Calon-calon yang bertanding ialah Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Hanafi Hamad (Angkatan Keadilan Insan Malaysia).

Setiausaha kerja Umno bahagian Kangar, Abd Wahab Abd Majid, ketika dihubungi mengesahkan menerima surat arahan tersebut.

Tiada ulasan: