Jumaat, 22 Ogos 2008

Tidak hadir Parlimen, pembangkang protes Azalina dan Timbalannya
Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Bernama melaporkan ketidakhadiran Menteri Pelancongan Dato' Seri Azalina Othman Said dan Timbalannya Dato' Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib untuk menjawab soalan di Dewan Rakyat menimbulkan rasa tidak puas hati pihak pembangkang.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang bangkit untuk mengemukakan soalan mengenai bilangan dan kos papan iklan promosi pelancongan yang diletak di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan, kecewa kerana tiada wakil daripada kementerian itu untuk menjawab pertanyaannya.

"Tiada menteri, tiada timbalan menteri, tiada kementerian, hanya ada papan tanda (nama) saja...Semua pergi kempen di Permatang Pauh, malu untuk Barisan Nasional (BN)," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato' Ronald Kiandee kemudian meminta sama ada mana-mana menteri atau timbalan menteri yang dapat mewakili Kementerian Pelancongan untuk menjawab soalan Lim itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato' Dr Abdul Latiff Ahmad yang baru selesai menjawab soalan terdahulu kemudian bangkit untuk menjawab bagi pihak Kementerian Pelancongan.

Abdul Latiff yang meminta izin kepada Ronald untuk menjawab kemudian dipintas Lim yang tidak bersetuju dan mendakwa bahawa Ronald menamakan Abdul Latiff untuk menjawab soalan itu sedangkan beliau kurang memahami mengenai perkara berkaitan pelancongan.

"Dia (Abdul Latiff) tidak tahu apa-apa...sungguhpun Peraturan Mesyuarat membenarkan tetapi dia tidak tahu, mana boleh Speaker menamakannya (untuk menjawab soalan), mana boleh," katanya.

Ronald kemudian menepis tuduhan Lim dengan berkata,: "Jangan tuduh (Timbalan) Yang Dipertua macam tu, saya tidak menamakan Timbalan Menteri Kesihatan, saya cuma menjemput sama ada ada menteri yang boleh berdiri untuk menjawab secara bertulis."

Abdul Latiff kemudian menjawab dengan berkata bahawa pemasangan papan iklan itu masih berjalan serta tiada maklumat secara terperinci mengenai kos dan meminta untuk menjawab secara bertulis.

Jawapannya itu kemudian menimbulkan kekecohan di kalangan pembangkang yang tetap mahukan menteri atau timbalan menteri berkenaan menjawab soalan itu.

Seperti sengaja mahu menguji keupayaan Abdul Latiff untuk menjawab, Lim kemudian mengemukakan soalan tambahan mengenai sama ada ada kajian saintifik dibuat untuk menunjukkan gambar pemimpin negara yang dipaparkan di papan iklan itu dapat menggalakkan pelancongan.

Abdul Latiff yang mendapat jawapanan daripada pegawai Kementerian Pelancongan kemudian menjawab bahawa paparan gambar Perdana Menteri, timbalannya serta Azalina adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memberitahu mengenai aktiviti pelancongan di samping menyambut dan mengalu-alukan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke negara ini.

"Tidak pernah ada kata gambar-gambar ini memberi kesan negatif, ia untuk memastikan agar pelancongan turut memberi manfaat kepada rakyat. Kalau ada saranan daripada pihak Ipoh Timur (Lim) perlu diadakan kajian saintifik, kita boleh buat, tiada masalah," katanya. - mr_

Tiada ulasan: