Khamis, 7 Ogos 2008

Tarikh undi satu helah - Tian Chua
Nuha Rahim

KUALA LUMPUR - Perjuangan serta kempen mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh akan diteruskan walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim bakal ditahan pihak berkuasa, kata Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat, Tian Chua.

"Kita berharap perkara ini disebarkan kepada seluruh rakyat Malaysia hingga ke akar umbi," pintanya kepada pemberita selepas satu sidang media bersama Penasihat parti itu hari ini.

Menurutnya, Barisan Nasional tidak sekali-kali akan memberi laluan mudah serta membiarkan Anwar menang di kawasan parlimen itu.

Jentera pihak pemerintah, katanya, bakal dikerahkan semaksima yang mungkin untuk menafikan kemenangan bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Tian Chua turut menyifatkan bahawa pemilihan tarikh membuang undi yang jatuh pada hari Selasa yang merupakan hari bekerja sebagai satu helah untuk menggagalkan usaha Anwar dalam misinya menawan Putrajaya.

"Kebanyakan penduduk tempatan bekerja di luar Pulau Pinang seperti di Kedah, Kuala Lumpur dan Singapura. Penetapan hari mengundi yang jatuh pada hari Selasa bakal menyulitkan pengundi-pengundi untuk keluar membuang undi," tegasnya.

Justeru, katanya, kita janganlah berasa terlalu yakin untuk menang.

"Sebaliknya, semangat untuk memenangkan kubu kuat ini mestilah lebih daripada semangat ketika pilihan raya umum yang lepas,"tambahnya.

Pilihan raya kecil bagi parlimen Permatang Pauh dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos ini sementara penamaan calon pula akan diadakan pada 16 Ogos.

Pilihan raya ini diadakan setelah peletakan jawatan Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mahu memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding di situ. - mks._

Tiada ulasan: