Selasa, 12 Ogos 2008

Tahun Pertanian 2006 Disahkan Gagal
SM Noor


Projek Fertigasi Mega yang dimulakan pada bulan Mei tahun 2006 dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM 20 juta dan dilaksanakan oleh Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) ternyata gagal.

Projek tersebut termasuk dalam program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006 yang mensasarkan peningkatan pendapatan RM 500.00 sebulan bagi 10,000 orang petani, penternak dan nelayan.

Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Hj Yusof Maidin menyatakan, projek yang memberikan tumpuan kepada tanaman Melon (Tembikai Susu) itu tidak dapat memenuhi permintaan pasaran luar dan dalam negeri.

“Kita telah diberikan kuota10 kontena sebulan untuk mengekspot melon, tetapi setakat ini kita hanya berjaya mengekspot satu kontena sahaja sebulan,

“Pada tahun 2006 yang lalu kerajaan negeri Terengganu telah memperuntukkan RM 20 juta untuk program Fertigasi,

“sekarang terdapat 159 pengusaha, tetapi kita masih tidak cukup diekspot keluar Negara, untuk permintaan dalam negeri pun masih tidak cukup,”kata beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengeluar Buah-buahan dan Sayur-sayuran Negeri Terengganu (PPBSNT) baru-baru ini.

Justeru kenyataan tersebut adalah bercanggah dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Terengganu, Rozi Mamat ketika menjawab soalan berkaitan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Mei lalu.

Rozi berkata projek mega itu tidak gagal kerana masih dalam perlaksanaan tanpa menyatakan sebarang perincian.

Buletin Online difahamkan, Projek Fertigasi Mega itu yang dilaksanakan dalam era pemerintahan bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh, pernah dirujukkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sumber Buletin Online memberitahu, projek tersebut menjadi ‘perbualan hangat dalaman’ Jabatan kerana pembayaran telah dibuat kepada pihak kontraktor, walaupun kerja-kerja perbekalan peralatan fertigasi belum diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, Hj Yusuf Maidin berkata peningkatan harga makanan antarabangsa dan kekurangan bekalan menimbulkan cabaran.

Beliau berkata kerajaan mensasarkan lebihan makanan sebanyak RM 1.2 bilion pada tahun 2010, walaupun kedudukan semasa bekalan makan negara masih defisit.

Justeru menurut beliau, sasaran tersebut sukar untuk dicapai, kecuali adanya usaha yang bersungguh-sungguh.

Antara pengeluaran yang masih defisit adalah sayur-sayuran dimana Negara masih mengimpot bekalan sayur-sayuran dari luar Negara.

Beliau sangat berharap pihak PPBSNT dapat memainkan pernanan dan dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan produktivit sektor agro makanan bagi memenuhi tahap sara diri dan meastikan bekalan bahan makan berkualiti dan selamat di makan.

Tiada ulasan: