Jumaat, 1 Ogos 2008

SPA perlukan 19,723 individu untuk isi kekosongan jawatan

MSTAR ONLINE

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memerlukan 15,887 individu bagi mengisi kekosongan 24 jawatan di beberapa kementerian dan jabatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata kekosongan yang kritikal berlaku pada setiap tahun untuk tiga jawatan iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi dan Pegawai Pergigian ekoran keperluan yang semakin meningkat.

"Untuk jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41, kekosongan adalah seramai 5,189 manakala untuk Pegawai Farmasi dan Pegawai Pergigian gred U41, masing-masing mencatatkan kekosongan sebanyak 1,314 dan 255 orang.

"Temuduga berterusan untuk tiga jawatan itu akan diadakan dengan calon boleh membuat temujanji terlebih dahulu pada hari Selasa di Putrajaya, Kuching dan Kota Kinabalu. Tawaran pelantikan akan dibuat pada hari yang sama sekiranya mereka lulus," katanya pada satu taklimat khas di sini hari ini.

Beliau berkata komposisi kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan awam juga meningkat ekoran usaha agresif SPA, termasuk mengadakan promosi kerjaya di pusat membeli-belah dan kawasan pedalaman, menyiarkan iklan jawatan kosong di akhbar berbahasa Mandarin dan Tamil serta hebahan menerusi Berita Mandarin, Tamil dan Radio Minnal FM.

"Kita juga menyiarkan iklan untuk akhbar-akhbar di Sabah dan Sarawak dan ia berhasil kerana permohonan meningkat setiap tahun," katanya.

Untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 12,111 kaum Cina yang memohon untuk mengisi kekosongan jawatan itu berbanding 12,875 sepanjang tahun lepas, manakala kaum India mencatatkan 17,798 permohonan berbanding 18,553 sepanjang 2007.

Lain-lain kaum pula mencatatkan 101,085 permohonan berbanding 98,148 sepanjang tahun lepas, katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: