Jumaat, 8 Ogos 2008

Shah Alam lokasi debat Tsu Koon-Guan Eng pada 20 Ogos

KUALA LUMPUR: Debat terbuka antara Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan tetap diadakan.

Ia akan dianjurkan portal berita Agenda Daily pada 20 Ogos di Shah Alam, dengan lokasinya akan diumumkan kemudian.

Debat itu akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen milik Kumpulan Media Prima, akan menyentuh mengenai pelbagai isu semasa dengan menumpukan kepada isu di Pulau Pinang kecuali isu "kontroversi penipuan tanah" yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Kedua-dua pihak bersetuju dengan lokasi itu (Shah Alam). Mereka bersetuju yang debat itu diadakan dalam Bahasa Malaysia, berdasarkan format debat presiden AS dan Datuk Johan Jaafar sebagai perantaranya," kata editor berita Agenda Daily, Hanafiah Man kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, mereka masih belum mencapai kata sepakat mengenai tajuk debat itu walaupun mereka bersetuju yang topiknya ada mengenai isu semasa dan berkaitan Pulau Pinang, katanya.

Portal berita itu sebelum ini menganjurkan debat mengenai kenaikan harga minyak dan implikasinya terhadap sosioekonomi antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Debat itu yang turut dikendalikan oleh Johan selaku perantara, diadakan bulan lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini dan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen.

Ini merupakan pertemuan kali kedua antara Koh dan Lim dalam debat. Pertama kalinya ialah 20 tahun lepas di Penang Town Hall yang pada ketika itu, masing-masing ialah pemimpin pergerakan Pemuda Gerakan dan DAP. BERNAMA

Tiada ulasan: