Sabtu, 9 Ogos 2008

RM 200,000 bagi setiap parlimen , RM 50,000 untuk DUN wujudkan program Inap Desa

TAIPING - Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi setiap kawasan Parlimen dan RM50,000 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membangunkan program Inap Desa di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dengan peruntukan sebanyak itu, kerajaan berharap setiap kawasan Parlimen dan DUN mempunyai program Inap Desa kerana ia mendapat sambutan menggalakkan terutamanya di kalangan pelancong Jepun dan Korea.

Pada masa sama ujarnya, program itu juga dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar dan menggiatkan industri pelancongan negara kerana pelancong luar akan datang semula negara ini untuk bertemu keluarga angkat masing-masing.

``Saya telah mengarahkan Kementerian Pelancongan mengeluarkan surat tawaran tersebut untuk melaksanakan program itu di kawasan DUN.

``Dengan itu, saya meminta wakil rakyat supaya mengambil kesempatan atas tawaran ini bagi menjadikan program Inap Desa sebagai satu produk di kawasan kita dan surat tawaran ini akan sampai ke pejabat wakil rakyat tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Jom Makan Durian 2008 di Dataran Bukit Gantang dekat sini hari ini, yang mendapat sambutan daripada lebih 5,000 pengunjung.

Sebanyak 30,000 biji durian, rambutan dan manggis disediakan pada pesta tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam. - Utusan

Tiada ulasan: