Sabtu, 9 Ogos 2008

Rais: Tubuh majlis dalaman bagi pantau penulis blog

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta supaya sebuah majlis dalaman ditubuhkan atau mekanisme dirangka bagi memantau laman dan penulis blog.

Katanya dari segi perundangan, Akta Hasutan sudah memadai tetapi beliau bimbang mengenai langkah penguatkuasaan yang tidak menepati standard serta penubuhan majlis seperti itu akan membantu dalam penguatkuasaan.

Katanya undang-undang negara mungkin tidak dapat dilaksanakan terhadap penulis blog yang berada di luar negara tetapi sesuatu boleh dilakukan ke atas penulis blog dalam negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas sebuah laman blog yang meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan.

Katanya adalah lebih baik untuk mereka melahirkan rasa ketidakpuasan mereka menerusi saluran yang betul seperti menulis artikel dan bersuara mengenai apa yang tidak kena, salah atau tidak betul daripada melakukan tindakan seperti itu.

"Daripada menghentam Jalur Gemilang, adalah lebih baik untuk mereka menyasarkan orang berkenaan atau pemimpin yang mereka tidak suka," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Singapura mengembangkan kawasan di sekitar rumah api Pulau Pisang, Rais berkata beliau akan mengarahkan jawatankuasa teknikal Malaysia untuk mengkajinya.

"Saya tidak boleh menjawab kerana sebarang program meluaskan kawasan atau tindakan yang bertentangan dengan hubungan baik dua hala tidak dibawa ke perhatian saya," katanya.

Katanya kedudukan Pulau Pisang berhubung dengan rumah api itu akan dikaji segera dan Singapura akan dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia ke atas pulau itu.

Rais berkata Pulau Pisang tidak boleh dibiarkan bersendirian dan kerajaan negeri Johor harus proaktif dari segi pembangunan dan merangka pelan induk bagi pulau itu demi untuk generasi masa depan. BERNAMA

Tiada ulasan: