Sabtu, 2 Ogos 2008

Pusrawi boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian

KUALA TERENGGANU: Hospital Pusrawi boleh dikenakan tindakan iaitu denda sehingga RM300,000 dan pengurusannya juga boleh dikenakan hukuman penjara jika siasatan mendapati terdapat kecuaian yang mengakibatkan kebocoran maklumat`laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata hukuman itu boleh dikenakan mengikut Akta Kemudahan Perubatan Swasta 1998.

Selain itu, doktor yang terlibat dengan insiden itu juga boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana mengeluarkan laporan kepada umum yang melanggar etika profesionalisme sorang pengamal perubatan.

"Selepas dia (Pusrawi dan polis) buat siasatan kita akan dapat tahulah apa yang telah terjadi. Boleh dikenakan tindakan terhadap kedua-dua (Pusrawi dan doktor). Macam-macam boleh dikenakan termasuk tindakan disipilin kerana ia melibatkan etika dan profesionalisme seorang pengamal perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri sesi dialog bersama kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Katanya siasatan dalaman sedang dilakukan oleh polis dan Hospital Pusrawi untuk mengetahui bagaimana laporan perubatan ke atas Mohd Saiful boleh tersebar.

Beliau berkata kementerian setakat ini masih belum menerima sebarang laporan hasil siasatan kes itu.

Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi, Dr Kamaruddin Ahmad, dalam sidang akhbar yang diadakan semalam, menafikan doktor pakar dari hospital itu melakukan pemeriksaan berkaitan liwat ke atas bekas pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Dr Abdul Latif berkata beliau kesal dengan insiden itu kerana ia menjejaskan kredibiliti Hospital Pusrawi sendiri memandang rekod pesakit adalah sulit dan maklumatnya tidak boleh dibawa keluar masuk atau disebarkan sembarangan.

Katanya kementerian akan memastikan perkara itu tidak berulang di hospital lain di negara ini.

"Kalau dia (Pusrawi) tidak ada kredibiliti dan tidak dapat menyimpan rahsia pesakit, macam mana orang akan berani datang untuk menerima rawatan biasa.

"Sebab itu saya akan pastikan apa yang berlaku di Pusrawi tidak berlaku di insitusi perubatan lain. Sedihlah kita... nanti semua orang tak percaya. Kalau dah orang tak percaya, mereka tidak akan pergi untuk dapatkan rawatan lain," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: